"Abah Pergi Dulu Umi" - Gurauan Disalah Erti Akhirnya Suami Pergi Buat Selamanya Al-Fatihah
http://beritapadu.blogspot.com/2015/10/abah-pergi-dulu-umi-gurauan-disalah.html
KUALA TERENGGANU - “Abah mati dulu mi (ummi),” itulah kata-kata yang dianggap sebagai satu gurauan bagi isteri mangsa rentung, Mohd Azha Jusoh, 47, di Kilometer 315.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dekat susur keluar Plaza Tol Kerteh, Kemaman, pagi kelmarin.
Menurut isteri mangsa, Zuraini Ilias, 42, disebabkan mangsa suka bergurau dengannya, dia tidak ambil kisah kata-kata berkenaan sehinggalah mendapat berita kemalangan yang meragut nyawa arwah suaminya itu.
“Dia (mangsa) memang suka bergurau dengan saya dan anak-anak walaupun agak pendiam, banyak kali juga dia sebut perkataan itu di hadapan saya.
“Tetapi saya anggap dia bergurau, tak sangka rupanya apa yang dia cakap itu seolah-olah dia dah rasa dia akan tinggalkan kami,” ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Panjang, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Zuraini dan 10 orang anaknya yang berusia antara 20 hingga 5 tahun termasuk anak bongsunya yang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down, reda dengan pemergian ketua keluarga itu biarpun dalam sekelip mata, dikala mereka masih belajar dan memerlukan.
“Saya reda (kematian mangsa)…adalah tu nanti rezeki anak-anak untuk mereka meneruskan pengajian dan persekolahan masing-masing,” katanya yang hanya menjual kuih muih sejuk beku dari rumah sejak dua tahun lalu.
Menceritakan pada hari kejadian, Zuraini berkata, mangsa bertolak dari rumah pada jam 2 pagi untuk ke Kuantan dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Sehinggalah tengah hari semalam (kelmarin), ada beberapa kakitangan pejabat arwah datang ke rumah memberitahu suami kemalangan tetapi tidak pula menyatakan suami meninggal, tapi lama kelamaan, baru mereka beritahu saya.
“Selepas mengetahui perkara sebenar, saya terus hubungi anak-anak untuk segera pulang termasuk seorang di Kuala Lumpur yang sedang belajar di Institut Profesional Baitulmal,” katanya.
Manakala, ketika ditanya mengenai pendidikan anak-anak, Zuraini berkata kesemua anaknya masih bersekolah dan tiga daripadanya berada di institut pengajian tinggi.
“Alhamdulillah, mereka (tiga anak) mendapat tajaan daripada Yayasan Terengganu dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan yang lain-lain masih bersekolah di sekolah biasa,” jelasnya.
Manakala bagi anak sulung mangsa, Nurul Adilatul Akmal, 20, yang kini menuntut di Institut Pengajian Islam (Inspi), Kemaman, dia akan meneruskan pengajiannya yang memasuki tahun akhir dan turut berharap adik beradiknya yang lain akan melakukan perkara sama.
Nurul Adilatul berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah ialah pada Aidiladha lalu, sebelum berangkat ke Kemaman.
“Abah agak pendiam lagipun kami agak jarang berjumpa kecuali hari cuti, kadang-kadang sebelum Subuh abah sudah keluar pergi kerja, cuma bila bersama satu keluarga terutama hari raya atau cuti semester, abah suka bergurau dan buat lawak,” ceritanya yang pasti akan merindui gurauan daripada abah tersayang yang juga seorang imam Masjid Kampung Kubang Panjang.
Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Panjang kira-kira jam 8 malam, kelmarin.
Sebelum ini, akhbar sama melaporkan seorang pemandu lori tangki minyak rentung apabila kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik sebelum terseret sejauh 62 meter lalu terbakar dalam nahas jam 9.30 pagi kelmarin.