Semua 20 Universiti Awam Setuju larangan Hisap Vape di Universiti - Idris Jusoh
http://beritapadu.blogspot.com/2015/11/semua-20-universiti-awam-setuju.html
Semua 20 universiti awam bersetuju agar penggunaan vape atau rokok elektronik dan rokok diharamkan di kampus masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata keputusan itu dicapai bersama oleh Naib-naib Canselor di 20 universiti awam berkenaan yang bermesyuarat Jumaat lepas.
"Walaupun sebelum ini ada naib canselor yang mengumumkan pengharaman menghisap vape dan rokok dalam kawasan universiti, saya menyifatkan keputusan bersama ini adalah tepat kerana universiti adalah zon hijau.
"Dahulu, hanya rokok yang diharamkan dihisap (di universiti), sekarang kita perluaskan kepada vape atau rokok elektronik," katanya kepada media malam tadi.
Beliau berkata universiti diberi kuasa autonomi dan berhak menentukan hukuman atau tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut dan kerajaan tidak akan campur tangan.