'Dia Tak Pernah Bawa Duit Belanja Ke Sekolah'
http://beritapadu.blogspot.com/2015/11/dia-tak-pernah-bawa-duit-belanja-ke.html
Gambar kiri hanya sekadar hiasan |
Cerita pagi tadi (2 November)
Lupa nak beri duit sekolah anak pagi tadi. Selepas jam 9 pagi, saya terus pergi ke sekolah anak, bagi berikan duit belanja. Pada masa itu, budak-budak sedang rehat.
Semasa menunggu anak di kantin, tiba-tiba ternampak seorang budak lalu di depan mata. Kecil badannya, pakaiannya lusuh, warna kuning dan tidak bergosok. Hati mula terasa semacam. Dia berjalan pelahan-lahan saja melihat kiri kanan dan selepas itu hilang dari pandangan.
Tercari-cari juga ke mana perginya budak itu. Mata saya terpaku melihat budak tadi duduk atas bangku kantin dan tangannya memegang sesuatu. Selepas itu dia makan, nampak macam susah saja dia nak gigit. Saya ingatkan dia makan kuih, tetapi pelik rupanya menyebabkan saya terus menghampirinya dan bertanya apa yang dimakan itu.
Dia pun menunjukkan makanannya. Pada masa itu, hanya tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan saya bila tengok dia cuma makan kulit ayam yang kawan bagi katanya.
"Kenapa tak makan benda lain?"
"Ini dah ada makanan," jawabnya berulang kali sambil menunjukkan kulit ayam yang dipegangnya itu.
Pada saya, itu bukan kulit ayam, tetapi hanya sisa tepung ayam goreng yang makcik kantin itu masak. Tak puas hati lagi, aku pun bertanya lagi kepadanya.
"Kenapa tak beli makanan?"
Dia tunduk membisu.
"Dia memang tak pernah bawa duit belanja ke sekolah," jawab rakannya.
Subhanallah. Terkedu saya mendengar jawapan rakannya itu. Apa yang dia makan di rumah pagi tadi? Mungkin juga dia boleh makan RMT pagi di sekolah, tetapi bukannya mencukupi. Tengah hari dia tak lapar ke?
Pada masa itu jugalah air mata saya mengalir. Susahnya hidup dia. Saya bagi dia duit dan suruh dia pergi beli makanan. Saya perhatikan saja apa yang dia beli. Tahu apa yang dia beli? Cuma sebatang hotdog.
Bila makcik kantin panggil dia untuk beri duit baki, dia tak pandang langsung duit itu, mata dia asyik memandang hotdog itu sambil berjalan. Dari situ dah sudah boleh agak yang dia tidak pernah membeli hotdog itu agaknya.
Selepas itu, saya nampak pula ada seorang budak lagi duduk bergayut saja di palang tempat budak beratur membeli makanan. Duduk tengok budak lain beli makanan. Lepas itu, tiba-tiba budak itu ambil duit dari budak yang saya tolong tadi.
"Kenapa ambil duit orang?"
"Kak, ini abang saya," jawab budak itu.
"Tak bawa duit juga ke?"
Dia hanya mampu mengangguk kepala sahaja.
Macam mana mereka boleh menahan lapar dari pagi sampai ke petang? Sekolah sudahlah jam 4.30 petang baru tamat. Kita rasa kita dah cukup susah, tetapi orang lain lagi susah dari kita. Sudahlah makanan di kantin sekarang mahal. Air saja sudah 50 sen. Nasi pula antara RM1-RM2. Macam mana mereka nak makan kalau seringgit pun mereka tak mampu nak bawa?
Hari ini saya dapat tolong tetapi bagaimana dengan hari-hari esok? Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sebab apa yang kita miliki tidak semua orang lain boleh miliki. Tetapi apa-apa pun masih terbayang wajah budak-budak itu. Dia kata nama dia Haikal, darjah 1. Abang dia pula darjah 3. Moga Allah permudahkan hidup mereka dan murahkan rezeki mereka.